MAC 2024

Kompleks Wisma Melayu Sarawak Dijadual Siap Mei 2025


KUCHING: Projek pembinaan  Kompleks Wisma Melayu Sarawak milik Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) di sini dijadual siap pada 7 Mei tahun depan. 

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kemajuan pembinaan kompleks tersebut kini mencapai tahap kemajuan 33 peratus dan 55 hari mendahului jadual.

"Saya harap mereka akan kekalkan momentum supaya sasaran untuk projek ini disiapkan boleh dicapai, iaitu pada 7 Mei 2025," katanya ketika  lawatan kerja di tapak pembinaan Kompleks Wisma Melayu Sarawak, di sini, hari ini. 

Awang Tengah berkata, Wisma Melayu Sarawak ini mempunyai dewan acara yang berkapasiti 2,500 orang, 260 tempat letak kereta, ruang pejabat dan galeri.

Katanya, projek itu dibina di atas kawasan seluas  lapan ekar dan jika perlu bagi fasa kedua projek itu akan dibina bangunan untuk tujuan komersial seperti hotel.